TAZKIRAH
: KESILAPAN MUSLIM DI BULAN RAMADHAN
Sebenarnya
terdapat objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan
ini terbahagi kepada dua iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif
taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah.
Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang
Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala
sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi
SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT. Bagaimanapun, kemampuan untuk
mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan
ilmu dan kekurang keperihatinan umat Islam kini. Antara yang dimaksudkan adalah
:-
1)
Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana
uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya
dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok,
makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua
perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. Ia dikira denda
yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini
disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah
makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat
al-Bukhari)
2)
Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam .
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan
dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah
baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu
terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir
malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah
lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari,
4/138)
3)
Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu
lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara
waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika
memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka
meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
4)
Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana
waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di
cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir
tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja.
Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu
tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu
penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md
'Uqlah, hlm 278)