Pages

Jumaat, 4 November 2011

دعأ مغهيلعكن كسوسهن دان كسمفيتن هيدوف.
1
يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث.

"واهي توهن يغ مغهيدوفكن ؛ وا هي توهن يغ تيدق ممرلوكن سسواتو فون ؛ اتس كموراحن اغكاو اكو موهون فرتولوغنمو."

2
اللهم رحمتك ارجو فلا تكلنى الى نفسى طرفة عين
واصلح لى شأنى كله لا اله الا انت .

"واهى توهن كامى كاسيه سايغمو ساغتله اكو هارافكن ؛جاغنله اغكاو بياركن اكو مناغيس سوسه ؛بايكيله سكالا اوروسن اكو ؛تياد توهن كجوالى اغكاو"

3
الله ربي لا اشرك به شيئا. ( باح توجه كالي )

الله توهنكو ؛ اكو تيدق منسكتوكنمو دغن سواتو اف فون"

Ahad, 27 Februari 2011

ENERGI DAN KEAJAIBAN AYAT KURSI

Saya ingin berkongsi pengalaman berkaitan bagaimana untuk mengesan sama ada kita ada gangguan jin atau tidak. Soalan ini sering diajukan ramai pesakit untuk jawapan segera.Agak sukar mencari jawapan yang tepat kerana melibatkan makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.Namun hasil pengalaman yang tak seberapa merawat pesakit gejala-gejala fizikal yang biasanya melibatkan campurtangan jin yang ditemui seperti berikut:
1. Sakit anggota badan tetapi doktor tidak dapat mengesan.
2. Badan tidak sakit tetapi ada denyutan di tempat-tempat tertentu
secara kerap
terutama ketika azan,mengikuti kuliah agama,membaca alQuran atau solat.
3. Tiba-tiba sakit bersangatan di kepala tetapi reda bila pesakit
membaca mana-mana ayat Al Quran.Gejala itu terjadi berulangan.
4. Tidak dapat tidur malam tanpa mengantuk atau sakit. Ada yang tidak lena
kerana kaki atau tangan bergerak-gerak atau terasa ditarik orang.
5. Sakit bersangatan di bahagian bawah lutut,pinggang,bahu atau dalam belikat
belakang tanpa sebab yang munasabah.
6. Terasa telinga berdengung atau terasa seolah-olah ada objek berpaut
di cuping telinga.
7. Tiba-tiba sahaja ada ketulan angin bergerak dalam perut naik turun yang
mengganggu keselesaan dan kadang-kadang sakit.
8. Pada waktu-waktu tertentu tangan atau kaki rasa kebas bersangatan.
9. Ada suami dan isteri tidak dapat tidur kecuali apabila saling
membelakangkan badan antara mereka.
10.Demam biasa sahaja tetapi berlarutan beberapa hari dan rasa tidak
berkesan dengan ubat doktor pakar.
11.Semua gejala fizikal yang ditemui di atas disahkan sihat oleh Doktor
Perubatan dan tiada penyakit merbahaya lain yang ditemui.
Jika anda mengalami masalah seperti di atas eloklah mengikuti nasihat doktor perubatan anda. Dalam masa yang sama temuilah perawat Islam secara Ruqyah Syariyah.
Bertindak segera dengan memantapkan amalan wajib dan memperbanyakkan membaca
Al Quran terutama ayat Kursi.Insya Allah jika angkara Jin anda akan sembuh dengan izin Allah. Pernah seorang pesakit magrain apabila dibacakan ayat Kursi dia terus kerasukan. Dalam dialog Jin itu mengatakan dia memasuki kepala pesakit ketika pesakit tidak membaca al Quran.Bila ditanya lagi Jin mengatakan ayat yang paling ditakuti dan menyakitkan ialah Ayat Kursi.Terus sahaja dibacakan Ayat Kursi dan Jin itu terketar-ketar kesakitan dan mengalah lalu keluar.Benarlah kata Ibn Katsir
bahawa Ayat Kursi sebagai paling agung dalam Al Quran seperti ditegaskan Rasulullah bahawa ianya merupakan pelindung dan benteng dari godaan syaitan.Malah nilainya
bila dibacakan sebanding dengan seperempat Al Quran. Anda boleh scan diri sendiri dengan membaca Ayat Kursi .Wallahu Aklam.

Sabtu, 12 Februari 2011

JIN CABUT PESAKIT BERLARI

Suatu malam selepas Isyak tanpa dirancang saya menerima seorang tetamu yang dibahasakan sebagai Pak Cik. Usianya hampir tujuh puluhan. Dia membawa sebotol air katanya nak minta tolong didoakan untuk kesihatan isterinya yang belum pulih daripada demam walaupun baru keluar hospital.Terus sahajalah diruqyah sekadar mampu mohon Allah sembuhkan. Dalam berbual Pak Cik tadi memberitahu dirinya juga masih bermasalah. Pinggang dan lututnya masih sakit-sakit,sukar berdiri jauh sekali untuk berlari. Katanya dia juga bercadang untuk datang buat rawatan.Kebetulan sudah hadir dia juga minta dirawat jika boleh. Atas simpati saya bersetuju dan terus sahaja mulakan rawatan secara scan ringkas menggunakan gerakan tangan sambil membaca ayat Kursi.Pak Cik tadi kelihatan semacam terkejut bila melihatkan kakinya bergerak-gerak ternyata gangguannya agak serius.
Ringkas cerita dengan izin Allah makhluk itu keluar setelah dipanggil,diancam dan dibantu untuk disedut keluar.Rawatan itu pun saya tamatkan memandangkan masa yang sudah lewat.Sebelum pulang Pak Cik itu bangun dan tiba-tiba berlari-lari dalam ruang tamu saya. Katanya sebelum ini dia memang sudah lama tidak boleh berlari malah untuk bangun pun amatlah sakit.Khabarnya bila pulang ke rumah malam itu Pak Cik terus sahaja berlari ke sana ke mari dan menghairankan isterinya yang tertunggu-tunggu air rawatan sejak awal malam tadi lagi. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah.Peristiwa tersebut boleh sahaja berlaku bukan kerana perawat,air rawatan atau jampi tetapi mungkin tahap keikhlasan pesakit dan perawat malam itu lebih tawadduk berserah pada Allah,lebih-lebih lagi ketika sesi rawatan hanya pesakit,perawat dan Allah sahaja yang ada.Jika anda berhasrat ke mana-mana pusat rawatan anda tidak perlu hadir terlalu ramai memadai seorang teman atau mahram dan pesakit sahaja.Dalam rawatan Islam suasana tempat rawatan juga rupanya ada impak kepada kemustajaban doa.Wallahu Aklam.

Khamis, 20 Januari 2011

TIP ELAK GANGGUAN

Kelalaian mengingati Allah mendedahkan kita kepada musibah. Justeru amalan yang dicadangkan di bawah amat wajar dipraktikkan . Paling utama khasadkan amalan ini sebagai amalan semata-mata mendekatkan diri kepada Allah .Insya Allah anda akan merasai kelebihannya.

1. Dari Ibn Hibban,Nabi S.A.W bersabda: "Hamba-hamba Allah yang membaca doa ini pada waktu pagi dan petang TIGA KALI ,tiada apa jua kesakitan yang akan dialaminya"
بسم الله الذي لايضرمع اسمه شيءفي الارض ولافي السماء وهو السميع العليم

"Dengan nama Allah yang dengan namanya tiada sesuatu pun baik di bumi mahu pun di langit dapat memberi bencana dan Dia maha mendengar lagi maha mengetahui"

2. Dari Bukhari,Muslim dan Malik diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang membaca ayat ini seratus kali sehari,pahalanya seperti memerdekakan sepuluh orang hamba,seratus kebajikan dituliskan untuknya dan seratus keburukan dibuang darinya dan menjadi benteng dari gangguan syaitan sepanjang hari" Ayat yang dimaksudkan ialah zikir:

لااله الاالله وحده لاشريك له
له الملك وله الحمد يحيي ويميت
وهو على كل شئ قدير


Mari amalkan bersama secara istiqamah,mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa mengingati (zikir)Allah.Allah berfirman dalam Surah Ar-Ra'd ayat : 28 bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah (zikrullah),ingatlah hanya dengan mengingati Allah ,hati menjadi tenteram".
Yakinlah bahawa ketenteraman hati membawa keceriaan hidup yang penuh dengan kenikmatan ,kesihatan , kelapangan mental serta kemantapan fizikal dan spiritual.
Allahu Akbar...Wallahu Aklam.

Ahad, 9 Januari 2011

KES RASUKAN DI IPTA

Assalamualaikum kepada semua pembaca blog ini.Terima kasih dan syukran jaziran kepada anda di mana sahaja berada.Setelah sekian lama 'berehat' dari menulis tanpa disedari rupanya pelawat blog ini telah menjangkau hingga ke Serawak,Brunei,Indonesia malah USA.Minat tersebut melambangkan kita semakin kukuh pegangan dengan Allah dan betapa pentingnya kita terus bergantung kepadaNYA dalam usaha menyelesaikan apa jua masalah manusia yang akhirnya kita pasti menuju kepadaNYA jua.
Saya terpanggil untuk memfokuskan perkongsian pengalaman ini kepada golongan yang terlibat dengan ilmu sama ada kita sebagai pelajar,pendidik malah sesiapa sahaja yang sentiasa berusaha memartabatkan ilmu sebagai sumber kebaikan dunia dan akhirat.
Sepanjang pengalaman yang singkat ini rupanya ramai juga pesakit adalah golongan genius,pintar malah ada yang layak disebut 'intelektual'yang telah mantap ilmu agama dan akademik .Suatu ketika saya diminta untuk membantu seorang pelajar IPTA ternama yang sedang melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana tetapi terpaksa di panggil pulang kerana ditimpa penyakit misteri yang mengganggu kosentrasi terhadap ilmu secara tiba-tiba lantaran diserang 'batuk'yang berterusan tanpa henti 24 jam.Pada ketika yang lain pula seorang pelajar IPT terus ranap motivasi belajar gara-gara tergelincir di tandas IPT sahaja.Ada juga kes beberapa orang graduan yang sedang meningkat prestasi kerjanya tiba-tiba diserang magrain dan hesteria ketika bermesyuarat dan berkerja.Alhamdulillah dengan izin Allah mereka disembuhkan oleh Allah sebaik selesai rawatan walau pun ada juga yang terpaksa dirawat berulang kali.
Allah jadikan semua peristiwa ini sebenarnya mengajak kita berfikir,mengkaji dan bermuhasabah tentang punca dan jalan penyelesaiannya.Pada pandangan saya yang tidak seberapa ini hasil usaha dan ikhtiar secara syar'e ,penemuan saya ialah para pesakit tersebut sebenarnya telah diserang 'makhluk jahat ' itu lantaran untuk menggagalkan misi golongan 'ilmuan' yang akan membawa banyak kebaikan (makruf)kepada manusia nanti.Benarlah Firman Allah Surah Al-Hajj: 52 bermaksud:
"Dan tidaklah kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau Nabi melainkan apabila dia bercita-cita(untuk kebaikan agama yang dibawanya),maka syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu dari mencapai cita-citanya".
Justeru,lantaran kejahatan makhluk syaitan itu maka mereka wajar diperangi dan usah putus asa malah yakinlah Allah sentiasa melindungi golongan 'ilmuan'dengan bantuan para malaikatnya yang sentiasa mendoakan rahmat kebaikan untuk kita.Dalam keghairahan kita menempa visi dan cita-cita tutupkan serapat-rapatnya pintu masuk Jin dan syaitan ini iaitu 'kelalaian' mengingati Allah.Sebab Allah juga telah mengingatkan kita dalam Surah Al-A'raf: 204 bermaksud:
"Barang siapa yang berpaling akan zikir kepada Allah maka kami turunkan kepadanya syaitan yang terus menerus menjadi kawan seiring baginya".
Maka tidak hairanlah dewasa ini ramai juga golongan terpelajar telah terperangkap dengan angkara makhluk ini dan tewas dengan pelbagai hiasan dan kemajuan dunia yang serba canggih tetapi merugikan diri sendiri di dunia dan akhirat.Insya Allah akan dicadangkan beberapa panduan menangani 'kelalaian' untuk kita amalkan sebagai ikhtiar rawatan -biiznillah.

Ahad, 31 Oktober 2010

GANGGUAN DI SEKOLAH- SUATU KAJIAN KES

Kali ini kita berkongsi beberapa kes sebenar yang berlaku di sebuah sekolah yang membimbangkan semua pihak kerana dalam keghairahan guru mendidik muncul pula beberapa kes yang mesti diselesaikan . Jika tidak impian mencapai sekolah berprestasi tinggi mungkin tergugat.

KES 1:
Suatu pagi pada awal tahun persekolahan sesi 2010 yang lalu ketika para guru dan pelajar bersedia memulakan waktu pertama tiba-tiba sahaja terdengar suara orang menangis.Kuat sekali bunyinya . Tidak disangka suara teriakan yang kuat itu datangnya dari seorang pelajar tingkatan satu yang baru bertukar masuk. Kelihatan beberapa orang guru cuba memujuk tetapi hampa. Situasi sebegitu hanya biasa berlaku di sekolah rendah. Tetapi sekarang apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Hasil soal selidik dengan si bapa pelajar itu mengatakan anaknya tiada apa-apa masalah kesihatan . Malah apabila kembali ke rumah dia lebih aktif dan tidak ada apa-apa perkara luar biasa berlaku. Dalam nada kecewa si bapa kehairanan mengapa anaknya berubah watak tidak mahu mendekati kelas sebaik sahaja sampai ke sekolah ?Sebaliknya cabut lari sambil berteriak melolong ke sana sini .Akhirnya pelajar tersebut terus berhenti dari belajar di sekolah itu. Siapakah yang patut dipersalahkan ? Apa tindakan yang wajar dilakukan agar situasi seperti itu tidak berulang?

KES 2 :
Pada pertengahan Bulan Mei 2010 yang lalu seorang pelajar lelaki tingkatan 2 yang berdisiplin dan berpotensi kelihatan menangis tersesak-esak di kaunter pejabat sambil memegang borang untuk memohon pulang ke rumah. Pada hal ketika itu baru jam 8.15 pagi. Apabila disoal katanya dia tidak tahan dengan rasa sakit yang amat sangat di bahagian pundi-pundinya.l.Ibunya pun hadir dan membawa pulang ke rumah. Guru-guru lain memberi maklumat bahawa pelajar itu sememangnya kerap ke tandas setiap hari. Keadaan itu menyebabkan pelajarannya sentiasa terganggu. Kata rakan-rakannya perkara tersebut telah berlaku sejak sebulan yang lalu.
Suatu hari ibunya hadir berjumpa dengan Penolong Kanan.Sedih dan muram sekali wajah siibu ketika menceritakan hal anaknya tadi sambil air mata kesedihan berlenangan. Katanya dia telah membawa anaknya membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah tetapi laporan doktor menunjukkan anaknya sihat tiada apa-apa masalah . Maklumat ini menghairankan semua pihak. Malah pelajar itu sihat walafiat sebaik sampai ke rumah setiap hari tetapi akan meragam semula kesakitannya apabila dia sampai ke sekolah pagi esoknya. Penyakit apakah ini ? Selang beberapa minggu selepas itu pelajar tersebut mula ponteng. Katanya dia amat malu kepada rakan-rakannya. Bayangkan jika situasi itu menimpa anak kita ?



KES 3

Selang beberapa minggu selepas Kes 2 muncul pula kes baru. Suatu hari Puan N seorang guru yang selama ini ceria lagi aktif meminta izin untuk bertemu dengan PK. Katanya untuk berbincang tentang sedikit masalah personal yang dihadapinya. Apabila disebut masalah ‘personal’ maka Pn. N pun dijemput berbincang dalam bilik Pk agar tidak didengari rakan-rakan lain. Satu persatu diceritakannya. PK hanya mendengar . Bukan masalah rumahtangga tetapi masalah kesihatannya yang agak terganggu.
Ketika berbual Puan N mengadu sejak akhir-akhir ini apabila balik ke rumah tenaganya layu. Sebelum ini bersolat dan membaca Al Quran sentiasa diutamakan. Katanya lagi sekarang ini apa yang dialami adalah sebaliknya,semangat untuk melakukan ibadah seperti itu semakin luntur dan terasa malas malah kadangkala rasa tidak bermaya.Ketika Pk bersuara memberikan pendapat tiba-tiba sahaja Pn. N merasakan jantungnya bergetaran. Wajahnya terus muram dan kelihatan sekali sekala seakan meloya seperti mahu muntah. Kata Pn N “maaf cikgu saya terpaksa ke tandas……” Dia terus meluru keluar dan meninggalkan PK dengan seribu persoalan…



KES 4
Suatu pagi beberapa hari selepas peristiwa Kes 3 ketika berjalan ke Kantin seorang guru menyapa dan terus sahaja mengadu yang dia kurang sihat hari ini.Puan AR mengatakan sebelah tangannya terasa lenguh dan sakit yang amat sangat. Jika boleh dia memohon untuk dibantu. Puan AR sememangnya seorang yang peramah dan bermotivasi tinggi. Tetapi pagi itu kelihatan wataknya berubah sama sekali. Mungkin lantaran keletihan setelah dua minggu terpaksa bermalam di hospital kerana masalah kesihatan keluarga .Begitulah hidup ini kadangkala kita diuji oleh Allah. Atas rasa simpati penulis bersetuju untuk merawat secara ringkas walaupun terpaksa.
Seperti biasa air mineral setelah dirukyah lalu diberi minum. Tiga orang rakan lagi turut bersama sebagai pemerhati. Ibu rukyah Surah Al fatihah dibacakan .Puan AR kelihatan terus sahaja memejam mata. Selesai Al fatihah jejari tangannya mula bergetaran. Seorang rakan yang berada berhampiran kelihatan mula merakamkan peristiwa menggunakan telefon bimbit. Ayat-ayat pemanas dibacakan ,tiba-tiba ………..

S : Wahai makhluk Jin, siapa kamu ? Jika kamu Jin Saka angkatkan
tangan !
AR : (Tangan kanan yang bergoyangan nampak terangkat perlahan-lahan)

S : Jika benar tekaan kami , angkatkan tangannya tetapi jika tidak
betul jangan angkat ! kalau kamu berbohong Insya Allah terbakar
kamu ! Apa betul kamu ni Jin saka sebelah ibu ?
AR : ( Kelihatan tangan diangkat. Getaran semakin kuat. Bunyi nafasnya
pun semakin kencang.Ternyata gangguan itu bermula dari rumah
bukan di sekolah seperti yang disangkakan.)
S : (Meneruskan rukyah dengan ayat-ayat penunduk.) Kamu Jin Islam?
AR : ( Tiada respon. Cuma mengalih wajah yang semakin “comel” itu
ke arah kanan seolah tidak melayan pertanyaan. Sombongnya Jin itu!)
S : Wahai Jin Saka ! Ingat jika kamu tidak berikan kerjasama bermakna
kamu memang sombong dan bongkak.Dengan izin Allah
kesombongan kamu nanti dibalas dengan sejuta rasa kepanasan !
Jawab, apa kamu ni jin Kafir ?
AR : ( Soalan provokasi itu berkesan dengan izin Allah. Badannya terus
terketar-ketar kuat. Mulut terngaga-nganga sambil berbunyi) :
Ggrrruuuuhhhkkkhhhh……(mungkin bahasa Jin yang siapa pun
tak faham tetapi menggerunkan sambil lidah terjelur keluar
menghamburkan percikan air liur yang ‘wangi’ itu)
S : Ayat-ayat belasah terus dibacakan.Situasi tegang seketika. Bila
menoleh ke belakang rakan-rakan pemerhati sudah bertempiaran .
Juru kamera pun dah ‘cabut’. Alhamdulillah dengan Izin dan
kekuasaan Allah Jin Saka jahat itu terdiam , layu dan tewas.
Akhirnya setuju untuk keluar melalui kaki yang terketar-ketar.

Ujian Allah itu kadangkala melibatkan diri sendiri,keluarga,rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang berhampiran dengan kita. Ketika itu semua orang akan simpati dan berusaha membantu atas rasa tanggungjawab kemanusiaan ,malah dalam Islam suatu tuntuta.n yang diijanjikan ganjaran besar di sisi Alllah s.w.t. Rasullullah s.aw. bersabda:
“Barangsiapa memberikan pertolongan (memenuhi hajat saudaranya) maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan dan hajatnya. Dan barangsiapa yang memberikan kemudahan(kelapangan) bagi kesusahan saudara Muslim,nescaya Allah melapangkan kesusahannya di hari kiamat”.( Maksud Hadis Riwayat Bukhari).
Prinsip di atas wajar diamalkan sebagai suatu tanggungjawab bersama. Justeru dalam organisasi pengurusan sudah muncul disiplin ilmu Kajian Kes seperti yang diperkenalkan oleh organisasi dan institut latihan pengurusan ternama. Tujuannya tidak lain untuk memastikan apa juga kes yang berlaku perlu ditangani bersama secara bijak dan profesional demi memantapkan organisasi agar semua perancangan dan program berjalan lancar tanpa gangguan. Persoalannya apakah dasar dan kaedah penyelesaian itu tepat dengan tidak melupai Allah sebagai penentu segala-galanya atau kita masih tercari-cari kaedahnya dengan terus menerus mencuba teori-teori barat yang masih kabur jalan penyelesaiannya?

Peristiwa seperti di atas mungkin berlaku di kebanyakan sekolah. Kes 1 hingga Kes 4 di atas jika direnung dan difikirkan tentu luar biasa. Masakan tidak, pelajar berubah watak menangis seperti kanak-kanak kecil atau tiba-tiba sahaja pepundi kencing terasa sakit sebaik memasuki kawasan sekolah.Itulah angkara kejahatan makhluk halus bernama Jin atau Syaitan untuk merosakkan manusia dengan berbagai cara dan tipu daya. Dalam Kes 2, pelajar itu bernasib baik kerana ibunya cuba mendapatkan Rawatan Islam . Ternyata ada makhluk halus dalam badan anaknya. Setelah melalui dua kali rawatan susulan,alhamdulillah kini pelajar itu sembuh ( dengan izin Allah) dan dapat meneruskan persekolahan seperti biasa. Sebagai manusia yang diberikan ilmu dan akal mungkin kita terfikir adakah gejala keruntuhan moral dalam kalangan pelajar mahu pun guru masa kini berpunca daripada gangguan makhluk halus ? Jika benar apa yang kita harus lakukan ?
Kepada sahabat-sahabat perawat dan rakan-rakan guru atau sesiapa sahaja yang berminat,anda dijemput memberikan apa jua komentar berkaitan kes dan persoalan di atas ! …wallahu aklam .

Selasa, 12 Oktober 2010

JIN SERANG SETIAP JUMAAT

Baru baru ini seorang pesakit datang untuk rawatan kali kedua. Sejak rawatan kali pertama ibunya berkata masalah anaknya telah pulih agak lama. Tetapi sejak akhir-akhir ini gangguannya berulang. Pesakit akan terkial-kial anggota tangan seolah-olah ingin mencengkam sesuatu dan sekali sekala tangannya terangkat seperti ular ingin mematuk. Apa yang mengecewakan keluarga dan pesakit ialah masalah itu berlaku sebaik pesakit berkira-kira untuk ke masjid setiap Jumaat.Pesakit berkata keadaan ini terjadi secara sedar tetapi pergerakan anggota itu tidak dapat dikawal sama sekali.
Rawatan kali ini pesakit diminta berikrar memutuskan hubungan dengan sebarang jenis Jin,bersyahadah serta beristighfar.Selepas rukyah anggota tangan pesakit semakin agresif dan matanya merenung saya dengan tajam sekali. Rukyah diteruskan dengan ayat-ayat penunduk dan azab.Senapang (rotan)terpaksa digunakan sambil dicucuk keperut pesakit .Akhirnya makhluk jahat itu muncul. Dia mendakwa Jin Saka kafir berusia 200 tahun.Tak tahan dengan ayat pemanas Jin itu akhirnya setuju diIslamkan dan diarah bersedia untuk keluar melalui kaki kanan.
Tiba-tiba kaki kiri pula bergetaran. Rupanya ada lagi makhluk yang sama tetapi Jin sihir dengan jumlah yang ramai.Namun dengan izin Allah mereka juga setuju bersyahadah dan bertaubat lalu bergerak ke kaki kiri.Alhamdulillah kedua-dua jenis Jin tersebut akhirnya dimudahkan Allah untuk dikeluarkan secara berasingan.Selepas sesi rawatan pesakit kembali ceria tanpa apa-apa getaran lagi.Malah dapat pula berbual sambil minum seperti biasa sahaja.
Semoga kesihatannya dikekalkan oleh Allah. Nasihat saya pesakit gangguan yang serius seperti itu perlu kepada rawatan susulan.Jika sihat pula jangan sekali-kali alpa atau meninggalkan nasihat dan amalan-amalan zikir yang dibekalkan.Amalkan cara hidup Islam sebenar secara berterusan bukan sahaja ketika kita ditimpa musibah bahkan hendaklah beristiqamah kerana Allah sepanjang hayat.InsyaAllah ,mudah-mudahan Allah sentiasa membantu kita dalam keredaan dan pemeliharannya.