Pages

Sabtu, 18 Februari 2012

BAHAYA KETIKA RAWATAN

Assalamualaikum. Sebagai seorang muslim sewajarnya menjadi kewajipan kita untuk mengambil langkah berhati-hati berpandukan garis panduan seperti yang disabdakan baginda Rasul s.a.w.agar kita sama ada sebagai pesakit atau perawat tidak terpengaruh dengan tipu daya Syaitan.
Sebuah hadis dari Umran bin Hasin berkata,telah bersabda Rasullullah s.a.w. "Bukanlah dari golongan kami orang yang melakukan tatoyyur( meramal kesialan/keburukan) atau meminta dilakukan ramalan atau orang yang bertenung atau yang meminta ditenungkan,atau orang yang menyihir atau yang minta disihirkan.Sesiapa yang mendatangi tukang tenung lalu membenarkan apa yang dikatakannya,maka dia telah kafir kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad."
( Riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru adalah lebih baik malah sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak tertipu dengan bisikan Syaitan ketika proses rawatan maka kita mengambil langkah berikut:

1. Sebagai pesakit apabila bertemu perawat Islam ,setelah menyatakan masalah yang dihadapi mohonlah didoakan agar Allah sembuhkan.
2. Pesakit hendaklah mengelakkan kata-kata"minta discan apa puncanya atau siapa punya angkara" kerana kata-kata itu seolah-olah kita meletakkan perawat seperti "tukang tilik" atau "peramal" seperti yang diperingatkan oleh hadis di atas.
3. Jangan kecewa jika Perawat Islam tidak menjawab soalan seperti itu.Itulah tanda perawat Islam sebenar kerana dia mengambil langkah berhati-hati agar tidak tergolong sebagai tukang peramal atau tukang tilik yang amat dibenci oleh Rasulullah s.a.w.
4. Sesiapa sahaja pesakit atau perawat jangan sekali-kali percaya dengan dialog Jin jika muncul dalam proses rawatan.Kecuali untuk kegunaan perawat sahaja dan itu pun setelah melalui beberapa teknik penapisan fakta yang amat rumit. Hal ini kerana Jin sihir kebiasaannya akan berkata-kata mengikut emosi pesakit semata-mata dan bukan fakta yang boleh dipercayai.
5. Rasulullah s.a.w. sendiri pun tidak mengetahui siapa yang menyihir baginda . Hanya setelah diberitakan oleh malaikat barulah baginda berusaha mencari bahan sihir dan memusnahkannya,didoakan pula oleh malaikat dan disembuhkan dengan izin Allah.
6. Oleh itu siapa sangatlah kita ini jika berani tampil membuat tuduhan,sangkaan atau menafsirkan hasil scanning di khalayak ramai ? Sedangkan pesakit masih berterusan menderita menanggung kesakitan yang tidak berkesudahan?
7. Alangkah baik kita kembali menghayati hadis peringatan Rasulullah s.a.w. disamping kita berusaha dengan memahami batas sempadan ,teruskan berdoa dan berserahlah semuanya kepada Allah s.w.t. kerana Allahlah maha penyembuh yang sebenar-benarnya. Wallahu a'lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan