Pages

Ahad, 4 Mac 2012

MISTERI TETAPI BENAR - MESTI BACA

Segala puji bagi Allah penguasa semesta alam,solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammmad s.a.w. ,keluarga baginda,para khalifah yang empat serta seluruh para sahabat baginda,para tabi'in,tabi' tabi'in serta ummat Islam keseluruhannya .
Ketika berbicara dengan beberapa sahabat berkaitan gejala penagihan dadah dalam kalangan remaja kita, tiba-tiba seorang rakan menceritakan pengalaman sebenar yang pernah di alami sendiri ketika remaja dahulu.Peristiwa berlaku di suatu malam bulan Ramadan yang mulia. Ketika para jemaah surau sedang kusyuk bersolat tarawih,si remaja ini bersama rakannya kusyuk pula dengan agenda sulit mereka di sebuah rumah.Sambil berborak kosong,berselang seli gelak ketawa tanpa menghiraukan kemuliaan Ramadan mereka telah mencuba "mengkhayalkan" diri mereka dengan hidangan ramuan yang mengasyikkan.
Hampir selesai para Jemaah solat,mereka pun bersiap untuk pulang.Oleh sebab sahabat ini pertama kali "melayari" bahan terlarang itu,dia tidak dapat memandu dan terpaksa membonceng seorang rakan untuk dihantar pulang. Dalam perjalanan pulang tiba-tiba sahaja pandangannya terganggu .Gangguan yang amat menakutkan,masakan tidak,katanya di kiri kanan jalan dia melihat berbagai jenis rupa Jin yang mengikutinya.Mereka berkeliaran dengan rupa wajah yang berbagai . Amat menakutkan lagi apabila dia terpaksa mengelak ke kiri dan ke kanan supaya mukanya tidak bertembung dengan makhluk itu.Katanya rasa takut dan menyesal mula menguasai dirinya.
Sebaik sampai di rumah tanpa berlengah lagi dia terus berusaha memulihkan kesedarannya dengan berbagai cara namun gagal. Gangguan suara dan penglihatan semakin bertambah dan merisaukan.Dalam kecelaruan minda itu tiba-tiba hatinya terdetik dengan pesanan orang tua-tua dan ustaz iaitu untuk berwuduk dan solat taubat.Dengan hati yang menyesal lantas sahabat ini terus ke bilik air dan berwuduk. Katanya ketika itu suatu peristiwa pelik dan menakutkan terjadi dengan izin Allah. Ketika air wuduk mengalir matanya terpandang berduyun-duyun makhluk halus yang berpaut di anggota tangannya jatuh satu demi satu dan terdengar pula suara tangisan mereka yang ketakutan dan jatuh berguguran ke lantai.Begitulah katanya yang terjadi pada setiap anggotanya yang dibasuh semasa berwuduk itu dan tiba-tiba sahaja pandangan dan suara seram itu lenyap tiba-tiba sebaik wuduknya selesai.Tanpa berlengah sahabat ini terus sahaja bersolat taubat memohon ampun atas keterlanjurannya dan dengan izin Allah keadaannya pulih seperti biasa selepas itu.
Alhamdulillah sahabat ini mengizinkan saya untuk menulis pengalaman benar beliau itu dalam blog ini . Inilah bukti kebenaran Sabda Rasulullah s.a.w :
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda : "Apabila seorang hamba Muslim atau mukmin berwuduk lalu membasuh mukanya keluarlah semua dosa yang dilihat dengan matanya bersama air atau bersama titisan air. Apabila dia membasuh kedua-dua belah tangannya keluarlah dosa yang dilakukan menggunakan kedua-dua tangannya bersama air atau titisan air. Apabila dia membasuh kedua-dua kakinya, keluarlah dosa berjalan yang digunakan kedua-dua belah kakinya bersama air atau titisan air terakhir sehingga dia benar-benar bersih dari segala dosa." (Hadis riwayat Muslim)